Keruntuhan Akhlak dalam kalangan remaja masa kini semakin menular

on Sunday 4 May 2014


Keruntuhan akhlak di kalangan belia remaja semakin menjadi-jadi di negara kita ini terutamanya belia remaja Islam Melayu. Seks bebas, mat rempit, pembuangan bayi, penagihan dadah dan sebagainya lagi cukup sinonim dengan anak-anak muda zaman sekarang bahkan remaja bawah umur juga seringkali dikaitkan bersama. Ianya terbukti di dada-dada akhbar yang sentiasa melaporkan berkaitan dengan isu belia remaja ini.
Apabila masalah keruntuhan akhlak remaja ini dibincangkan secara umum, persoalan yang sering kali menimbulkan tanda tanya kepada seluruh individu yang terlibat ialah siapa yang harus dipersalahkan dan mengapa perkara ini berlaku??
Masalah gejala sosial timbul kerana longgarnya ikatan akidah Islamiah remaja Islam zaman sekarang. Kelonggaran ini berpunca daripada ketidakfahaman mereka terhadap hakikat akidah Islamiah atau tidak mempunyai kesedaran akan tuntutan akidah Islamiah dan keimanan yang tidak cukup kuat untuk menggerakkan mereka melakukan amal ma’ruf nahi mungkar.

Adalah menjadi perkara biasa seseorang itu mempunyai perasaan ingin tahu dan ingin mencuba sesuatu perkara yang baru. Perasaan sebegitu sebenarnya adalah baik jika mengikut syariat, namun yang menjadi masalah apabila mereka tiada panduan daripada orang-orang yang sepatutnya seperti ibu bapa merupakan orang yang paling dekat dengan mereka. Jadi perasaan ini akan membuatkan mereka akan lakukan apa sahaja yang diinginkan tanpa memikirkan baik atau buruknya perkara tersebut.
Boleh juga dikatakan bahawa punca-punca keruntuhan akhlak yang utama adalah kemerosotan dari segi asuhan, didikan dan bimbingan serta kawalan oleh ibu bapa atau penjaga. Selain itu, tekanan hidup, sikap mengejar kemewahan serta penglibatan dalam aktiviti sosial lain menyebabkan ibu bapa  dan anak kurang  mempunyai masa atau kesempatan untuk bercakap, berbincang dan berdamping antara satu sama lain. Malah ada yang jarang bersua muka. Keadaan ini menyebabkan remaja membawa cara hidup sendiri tanpa panduan dan pengawasan ibu bapa.
Seterusnya adalah pengaruh rakan sebaya. Kawan yang baik boleh membimbing mereka kepada kebaikan, namun jika tersalah memilih kawan, akan mempengaruhi mereka kepada perkara-perkara yang negatif. Selain itu, sikap remaja turut menyumbang kepada gejala sosial ini, di mana mereka ini kadangkala terlalu mudah mempercayai orang lain. Contohnya, jika mereka merasakan rakan-rakan mereka lebih rapat dan lebih memahami, dengan mudah mereka akan mengikut apa yang dilakukan oleh rakan-rakan mereka.
Pengaruh persekitaran, luaran dan media massa juga sentiasa membentuk perilaku  para remaja yang masih mentah dalam menghadapi cabaran hidup. Pelbagai dorongan yang kurang sihat dipaparkan  melalui persekitaran ini yang seterusnya menyebabkan mereka terikut-ikut  dengan pengaruh ini. Lantaran itu untuk memenuhi keinginan ini, mereka merayau-rayau di pusat-pusat membeli-belah, pusat permainan video dan secara tidak langsung terlibat dalam pergaulan bebas.
Banyak yang telah kita dengar tentang gejala sosial. Berbagai gejala sosial telah melanda masyarakat kita dan aktiviti yang terlibat begitu pelbagai sekali baik yang dilakukan oleh remaja mahupun orang dewasa. Namun, oleh kerana golongan remaja dan pelajar merupakan bakal pewaris negara, maka kegiatan merekalah yang hangat diperkatakan dan mendapat perhatian daripada segenap lapisan masyarakat. Media massa seringkali menyiarkan pelbagai berita dan cerita tentang kenakalan remaja yang masih bersekolah dan pelbagai masalah sosial yang melanda mereka ini. Melihat kepada masalah sosial dan perbuatan jenayah membabitkan pelajar dan remaja benar-benar membimbangkan kita. Pada peringkat pelajar dan remaja, seseorang individu mengalami perubahan yang amat pesat sekali, sama ada dari segi fizikal, emosi mahupun sosial. Pada zaman inilah para remaja mula terdedah kepada alam luas di luar rumah, malah persekitaran ini sudah merupakan rumah kedua kepada mereka. Remaja juga belajar banyak perkara yang tidak semuanya datang dari ibu bapa tetapi kebanyakannya daripada persekitaran sosial yang mana ia membesar. Pada tempoh-tempoh inilah para remaja mula mengubah tingkah laku, sikap, dan nilai, malahan seluruh cara hidup daripada alam kanak-kanak kepada alam yang lebih matang dan dewasa (Bettelheim, 1950).

Vandalisme

on Monday 31 March 2014
Perbuatan yang merosakkan segala benda awam merupakan vandalisme.Di Malaysia pelbagai kemudahan diberikan oleh kerajaan kepada rakyat tetapi malangnya kenbanyakan daripada kemudahan awam yang disediakan ini rosak.Hal ini disebabkan oleh sekumpulan remaja yang tidak bertanggungjawab asyik merosakkan kemudahan awam ini dengan sewenang-wenangnya.Selain itu,kita dapat mendapti berita bahawa orang yang terkorban dalam kebakaran ataupun mati akibat tidak sempat untuk mendapat rawatan di hospital.Salah satu faktor yang menyebabkan kejadian di atas berlaku adalah vandalisme.Telephone awam yang sudah dirosakkan menyebabkan kita tidak dapat membuat panggilan untuk mendapatkan bantuan perubatan serta paip yang sudah dirosakkan menyebabkan bomba tidak boleh mendapat bekalan air untuk memadamkan api dan akhirnya membawa kepada berlakunya tragedi.




Sebab-sebab
  1. Pengaruh kawan
Selepas kajian dijalankan,kita mendapati bahawa kebanyakan remaja yang melakukan vandalisme adalah dipengaruhi oleh kawan.Demi mengeratkan hubungan di antara kawan, mereka sanggup mengikut apa yang dilakukan oleh kawan mereka untuk menunjuk bahawa mereka mementingkan persahabatan itu.
  1. Amalan moral yang kurang baik
Ajaran moral walaupun tertakluk di bawah tanggungjawab pihak sekolah tetapi ibubapa juga harus membantu hal ini.Apabila pakar-pakar mengkaji tentang vandalisme,mereka mendapati bahawa remaja-remaja ini tidak diberi ajaran yang betul dan mereka beranggapan bahawa vandalisme adalah perkara yang remeh-temeh sahaja.
  1. Sebagai cara untuk meluahkan ketidakpuasan
Mereka yang tidak berpuas hati dengan pelbagai perkara menggunakan vandalisme sebagai satu cara untuk melegakan perasaan mereka.Golongan ini akan menconteng di kemudahan awam dan dinding-dinding di jalanraya.
Kesan-kesan
  1. Imej negara dijejaskan
Apabila pelancong-pelancong melawat ke negara kita,ia akan memberi kenangan yang tidak baik kepada pelancong tersebut.Mereka pastinya akan menceritakan kepada kawan mereka tentang apa yang mereka lihat.Hal ini menjejaskan pandangan negara lain terhadap Malaysia.
  1. Beban kepada rakyat dan negara
Barang yang rosak memerlukan kos untuk memperbaiki dan mengganti.Maka,vandalisme akan meningkatkan budjet negara untuk memperbaki barang-barang yang dirosakkan.

Langkah-langkah
  1. Memberi hukuman yang lebih berat
Pihak berkuasa harus mengenakan hukuman yang lebih berat dan bukan hanya memberi saman sahaja.SElain itu,kepada mereka yang sentiasa mengulangi kesalahan tersebut harus dipenjara supaya mereka tidak berani lagi untuk mengulangi kesalahan tersebut.
  1. Bimbingan kaunselling harus diberi
Bagi mereka yang sentiasa melakukan perkara seperti ini,bimbingan kaunselling perlu diberi untuk mendapat ahu kenapa mereka berbuat begitu dan masalah yang dihadapi.Dengan ini,kita dapat membantu mereka menyelesaikan masalah mereka yang seterusnya membawa kebaikan kepada orang ramai.


Budaya Hedonisme Dalam Kalangan Remaja

on Monday 10 March 2014
Assalamualaikum kepada pembaca,



Sebelum saya memulakan entri pada kali ini, izinkan saya untuk menerangkan apa maksud budaya Hedonisme.Mungkin ada yang tertanya-tanya, maksud budaya Hedonisme. Untuk pengetahuan pembaca, budaya Hedonisme ini merupakan satu budaya negatif yang telah berlaku dalam masyarakat kita.

•  Muzik & lagu,
•  Konsert  & artis,
•  Permainan berkomputer ,
•  Friendster & Facebook,
•  Video & DVD,
•  Majalah & blog  hiburan,
•  MP3 & Youtube ,
•  Pesta  & keramaian

Seringkali mendengar perkara diatas ? Inilah yang dikatakan Budaya Hedonisme. Kita akan membincangkan dengan lebih lanjut mengenai budaya hedonisme.

Pengertian Budaya Hedonisme :

Hedonisme menurut pengertian kamus dewan ialah pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup. Manakala Drs Sudarsono dalam bukunya Etika Islam Tentang Kenakalan Remaja terbitan Bina Aksara pula mengatakan Hedonisme sebagai doktrin yang memandang kesenangan sebagai kebaikan yang paling utama dan kewajipan seseorang untuk mencari kesenangan bagi tujuan kehidupan. Ia beranggapan bahawa sesuatu perbuatan yang baik adalah mendatangkan kelazatan atau nikmat. Dalam Erti kata lain mereka beranggapan bahawa kesenangan dan kenikmatan adalah merupakan tujuan akhir hidup.

Apa yang merisaukan kita ialah budaya hedonimse ini semakin sebati didalam jiwa rakyat Malaysia. Kita dapat melihat remaja begitu teruja dengan kehadiran program-program realiti seperti Akademi Fantasia,Mentor,Maharaja Lawak dan sebagainya. Selain daripada itu, yang amat membimbangkan kita, kanak-kanak mula mengikuti langkah-langkah abang dan kakak mereka yang suka berhibur.

Tidak cukup dengan itu, Di Malaysia banyak dilangsungkan konsert-konsert sama ada secara percuma mahupun secara berbayar. Apakah yang akan berlaku dengan rakyat kita sekiranya terus dihidangkan dengan pelbagai perkara yang melalaikan seperti ini ?

Menurut Mohd Ridhuan Tee (2006), lebih malang lagi program-program sebegini mendapat tajaan daripada syarikat-syarikat korporat, termasuk syarikat korporat yang diterajui oleh orang Islam. Rancangan-rancangan yang bersifat ilmiah dan bersandarkan ilmu tidak mendapat sambutan dan penajaan serta di anggap merugikan.

Apabila program-program hiburan dilambakkan, dengan banyaknya kesannya minda masyarakat akan banyak dibentuk dengan hiburan. Remaja lebih ghairah dan bersemangat untuk berbicara tentang gosip sensasi para artis, filem-filem terbaru di pawagam, lagu-lagu yang sedang popular dan pelbagai topik lain yang semuanya berkaitan dengan hiburan. Adakah remaja begini yang diharapkan menjadi barisan pelapis untuk menerajui dan mencorak pembangunan ummah dan Negara?

Adakah hukum berhibur dalam Islam? Adakah hiburan dilarang? Apakah sejarah hedonisme?

Islam sangat memandang berat pemikiran-pemikiran yang cuba menganggu umat Islam. Hal ini kerana sekiranya pemikiran-pemikiran ini tidak dikawal, ia mampu merosakkan aqidah umat Islam. Sedangkan Aqidah berfungsi sebagai tonggak seluruh perancangan hidup manusia khususnya yang menyentuh aspek perancangan ummah.


Kesimpulan yang dapat dibuat mengenai perkara ini , budaya hedonisme ini akan menjadi duri dalam daging masyarakat kita terutamanya. Budaya ini mendatangkan kesan negatif terhadap masyarakat, negara, agama dan bangsa. Jika budaya hedonisme ini tidak dibendung daripada sekarang, nescaya kita akan mengalami zaman dimana masyarakat kita akan terus lalai dengan hiburan dan akan menyebabkan kita akan terus mundur.